Info Korporat

Institut Kraf Negara

Penubuhan Institut Kraf Negara (IKN) telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada bulan Ogos 2001. Ia melambangkan satu detik peralihan (turning point) yang penting serta menjadi satu mercu tanda dalam perkembangan industri kraf di negara ini. Disinilah bermulanya peranan IKN sebagai institusi pendidikan yang dipertanggungjawabkan untuk mengeluarkan lulusan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran di dalam bidang kraf.

Mengimbas sejarah latihan kemahiran kraf, ia mula diperkenalkan pada tahun 1967, dengan wujudnya Pusat Kemajuan Pertukangan Tangan (PKPT) di bawah RIDA / MARA. Peranan latihan pertukangan ini kemudiannya telah diambil alih oleh Lembaga Kraftangan Malaysia (LKM) pada April 1973. Pada 1 Oktober 1979, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) ditubuhkan di bawah Akta 222 menggantikan LKM. Program latihan kemahiran seterusnya diambil alih oleh Kraftangan Malaysia pada Oktober 1979 hingga kini.

Pada peringkat awal, latihan kemahiran kraf dilaksanakan di sepuluh (10) buah Cawangan Kraftangan Malaysia seluruh negara mengikut pengkhususan. Contohnya, latihan batik dan logam perak di Kelantan, latihan tenunan, anyaman dan tembaga di Terengganu, kraf etnik di Sarawak dan Sabah, latihan seramik di Perak, kraf kayu di Pahang dan latihan kraf kaca, buluh dan rotan di Negeri Sembilan. Jangka masa latihan adalah di antara 12 hingga 18 bulan dengan memberi penekanan kepada aspek kemahiran sahaja. Pada tahun 1994, program latihan ini telah dikaji semula bagi tujuan memperkasa dan menyeragamkan kursus-kursus yang sedia ada terutamanya dari aspek kurikulum yang diseimbangkan antara kemahiran dan akademik.

Pada tahun 1996, selaras dengan kajian semula perlaksanaan program latihan dalam Rancangan Malaysia Ke-7, program latihan kemahiran kraf telah dipusatkan di Kompleks Kraftangan Malaysia di Rawang, Selangor (ketika itu ibu pejabat PKKM) dalam dua bidang kemahiran iaitu batik dan tenunan. Program ini memberi tumpuan kepada belia-belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Tempoh pengajian pula selama dua (2) tahun. Pada tahun 1999, Kraftangan Malaysia telah bekerjasama dengan Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK), kini dikenali sebagai Jabatan Pembangunan Kemahiran, (JPK) di dalam pembangunan kurikulum latihan kemahiran.

Mulai tahun 2000, bidang pengajian telah dikembangkan kepada enam (6) jurusan iaitu Seni Kraf Batik, Tenunan, Seramik, Kayu, Logam dan Rotan. Para pelajar yang tamat latihan telah dianugerahkan Sijil Kemahiran Kraf. Pada tahun 2001, pihak pengurusan Kraftangan Malaysia melalui Menteri Pembangunan Usahawan telah mengangkat permohonan kepada Kabinet bagi mendapatkan kelulusan penubuhan Institut Kraf Negara (IKN). Pada Ogos 2001, Jemaah Menteri telah bersetuju dengan penubuhan IKN yang akan mentauliahkan Diploma dan Sijil kepada para pelajar. Serentak dengan itu, Kompleks Kraftangan Malaysia di Rawang dengan rasminya dikenali sebagai Institut Kraf Negara (IKN).

Bermula pada sesi pengajian 2002 / 2003, IKN mengorak langkah dengan pengambilan pelajar baru di peringkat diploma. Seramai 140 orang pelajar diploma telah dipilih untuk mengikuti pengajian dalam enam jurusan iaitu Jurusan Seni Kraf Batik, Tenunan, Seramik, Kayu, Logam dan Rotan. Walaupun IKN menawarkan program diploma, pengajian program sijil tetap diteruskan. Bilangan graduan IKN yang telah dan akan dianugerahkan Diploma sehingga 2009 ialah seramai 620 pelajar, manakala lulusan Sijil seramai 713 orang pelajar.

Falsafah

Melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran tinggi dalam bidang kraf dan bersahsiah terpuji bagi membangun potensi manusia yang berupaya mencapai kesejahteraan diri serta menyumbang kepada komuniti dan Negara.

Visi

Peneraju kecemerlangan pengajian kraf berinovasi dan berkemahiran tinggi.

Misi

Melahirkan modal insan yang berkemahiran dan berbudaya tinggi menerusi pengajian yang dinamik dan berkualiti.

Objektif

  1. Menyediakan peluang pengajian dan pembelajaran kepada golongan belia dalam bidang seni kraf.
  2. Menawarkan program pengajian yang berkualiti, inovatif dan diiktiraf.
  3. Melahirkan modal insan bagi aspirasi industri kraf.
  4. Memantapkan perkongsian strategik industri dan komuniti.
  5. Menjadi pusat rujukan, penyelidikan dan warisan kraf negara.
  • Utama
  • Mengenai IKN
  • Info Korporat

Hubungi Kami

  • Institut Kraf Negara (IKN)
    No.1 KM.20 Jalan Ipoh-Rawang, Taman Rekreasi Templer, 48000 Rawang, Selangor Darul Ehsan.

  • 03 6091 5322

  • 03 6092 6072
  • ukk.ikn@kraftangan.gov.my

Hakcipta Terpelihara © 2022 Institut Kraf Negara. Kemaskini : 25 Jan 2023, Jumlah Pelawat : 2538