Selaras dengan kajian semula kurikulum, pada tahun 1996 program latihan kemahiran kraf yang di telah dipusatkan di Kompleks Perbadanan Kraftangan Rawang, Selangor (sekarang dikenali sebagai Institut Kraf Negara). Program ini memberi tumpuan kepada para belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang juga merupakan satu lagi alternatif kepada para belia bagi meneruskan kerjaya mereka melalui bidang kraf. Program latihan ini telah membawa satu transformasi latihan kemahiran kepada pendidikan secara hands-on dan berkonsepkan vokasional yang dapat memenuhi keperluan tenaga mahir yang profesional serta berpendidikan dalam industri kraf. Program ini mentauliahkan Sijil Latihan Pengkhususan Khas berserta Sijil Tokoh Muda Kraf bagi pengiktirafan kepada para belia yang menyertainya secara sepenuh masa selama tiga tahun. Melalui program latihan ini, para pelajar telah akan berpeluang melanjutkan pelajaran mereka ke Institut Pengajian Tinggi iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknologi MARA dan Universiti Sains Malaysia.
Bagi mencapai matlamat yang direncanakan, skop pengajian di perluas dan di pertahapkan program latihan setapak ke hadapan. Penggubalan dan pembangunan kurikulum diperlengkapkan dokumennya, kemudahan dan kelengkapan pengajaran dan pembelajaran yang selaras dengan hasrat untuk meningkatkan status sebagai institusi pendidikan yang berteraskan kemahiran kraf sebagaimana yang diisyaratkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Dan pada 08 Ogos 2001, dengan persetujuan Jemaah Menteri, Institut Kraf Negara telah ditubuhkan sebagai sebuah institusi pengajian yang berasaskan kemahiran untuk program Sijil dan Diploma.
Perlaksanaan program pengajian dipertingkatkan di bawah pengendalian dengan mewujudkan Unit Akademik dan Kemahiran kraf terutama dalam aspek kurikulum dan perlaksanaan pembelajaran dan pengajaran di Institut Kraf Negara. Perlaksanaan program peringkat Sijil Seni Kraf (tempoh pengajian dua tahun) telah dimulakan pada tahun 2001 manakala program Diploma Seni Kraf pada tahun 2002 (tempoh pengajian tiga tahun).
Dalam usaha memastikan matlamat terlaksana, Institut Kraf Negara menetapkan enrolmen pelajar sejajar dengan dasar negara dalam mengeluarkan para lulusan yang berilmu dan berkemahiran tinggi, kreatif, inovatif serta berketrampilan dalam bidang kraf bagi memenuhi keperluan tenaga mahir yang professional dalam industri kraf. Di samping itu pembangunan, insanian bermoral, berdisiplin serta berbudaya keusahawan diterapkan secara merentas kurikulum.
Program yang dikendalikan oleh akademik & kemahiran kraf dalam 6 jurusan seni kraf iaitu :
- Jurusan Seni Kraf Batik
- Jurusan Seni Kraf Tenunan
- Jurusan Seni Kraf Kayu
- Jurusan Seni Kraf Logam
- Jurusan Seni Kraf Seramik
- Jurusan Seni Kraf Rotan
Unit ini juga memberikan tumpuan utama kepada kajian dan penyelidikan dalam pelbagai bidang kraf sama ada tradisional atau kontempori supaya dapat di manfaatkan kepada pelajar dan pengajian tinggi serta masyarakat umum bagi pembangunan industri. Hasil kajian disebarkan melalui penerbitan, bengkel/seminar atau pameran berkala.
Pada 17 Disember 2009, Akademik dan Kemahiran Kraf mengorak langkah mencapai misi apabila Jawatankuasa Tetap Penilaian dan Pengiktirafan Kelayakan (JTPPK), Jabatan Perkhidmatan Awam yang dipengerusikan oleh Y.B. Menteri Pengajian Tinggi Malaysia dalam mesyuaratnya yang ke 104 telah bersetuju untuk memberi pengiktirafan kelayakan Sijil Seni Kraf dan Diploma Seni Kraf sebagai setaraf dengan Sijil dan Diploma Biasa dari Institusi Pengajian Tinggi Awam tempatan yang lain bagi maksud lantikan ke jawatan-jawatan yang bersesuaian dalam Perkhidmatan Awam Malaysia melalui surat rujukan JPA(L) S. 180/8/1-96 Klt.5 (82) bertarikh 22 Disember 2009 secara rasmi kepada Institut Kraf Negara.
Dengan pengiktirafan Unit Akademik dan Kemahiran Kraf usaha lebih gigih perlu diperkasakan dari semua sudut bagi memastikan pengajian yang disajikan relevan dengan pasaran kerja masa kini. Usaha bersepadu diperlukan dari semua pihak bagi memastikan kepupusan industri kraf tidak menjadi.